Entertainment

Cetak, Jual Baju Tulis Ayat Mencarut Guna Tulisan Al-Quran, Ustazah Sharifah Anggap Perkara Itu Biadap & Tak Sensitif


Ustazah Sharifah Zahidah Syed Noh tampil menegur pengeluar baju yang mencetak serta menjual baju tulisan mencarut dengan menggunakan tulisan Al-Quran kerana dianggap tidak peka dan tidak menjaga sensitiviti agama.

Jual baju tulis ayat mencarut

Menerusi perkongsiannya di Fb, Ustazah Sharifah Zahidah menunjukkan foto pakaian tersebut yang tergantung di atas rak di sebuah kedai. Dalam pada itu, dia meluahkan rasa terkejut apabila melihat baju berkenaan kerana ia merupakan satu penghinaan yang amat nyata dan ia ditandakan dengan tanda bacaan seperti ayat di dalam Al-Quran.

Berderau darah saya terlihat gambar ini. Satu penghinaan yang amat nyata! Yang tertera atas baju ini adalah perkataan yang ditulis dalam bahasa Arab, menggunakan tulisan Resm Uthmani iaitu tulisan yang menulis ayat Al-Quran dan ditandakan tanda bacaan juga seperti ayat Al-Quran.

Lebih mengejutkan lagi apabila tulisan yang tertera pada baju berkenaan bukanlah perkataan yang baik, namun sebaliknya perkataan carutan ‘What The F**okay’ yang ditulis untuk memberi gambaran seolah-olah ianya adalah ayat Al-Quran.

Walau bagaimanapun, guru pengajian Al-Quran dan bahasa Arab itu menyatakan tindakan pengeluar serta penjualan baju berkenaan amat biadap.

Pertama sekali, mengapa harus mempromosi carutan pada pakaian? Sudah habiskah perkataan elok dan thought kreatif yang membina yang boleh dijadikan hiasan?

Kedua, kenapa ianya ditulis di dalam bahasa Arab? Bahasa yang Allah muliakan dalam agama Islam. Bahasa yang dipilih Allah sebagai medium firmanNya yang Maha Mulia?

Ketiga yang paling ketara, mengapa perlu meniru tulisan Al-quran Rasm Uthmani siap bertanda lagi dengan tanda bacaan yang sekali pandang memang nampak persis Al-Quran walhal tulisan itu tidak lain hanyalah sebuah carutan?

Harus dapat tentangan

Susulan daripada itu, Ustazah Sharifah juga mengajak orang ramai untuk tidak membeli serta menolak penjualan pakaian seperti itu.

Malah, dia juga berpendapat bahawa tindakan penjual pakaian seperti itu adalah tidak wajar dan harus mendapatkan tentangan walau apa jua alasan si peniaga yang menjual baju tersebut.

Pencetak baju, penjual, pengedar, pembeli dan semua yang terlibat nyata bersikap biadap dan tidak sensitif dengan kemuliaan agama Islam sendiri.

Ini bahana apabila semua benda nak dibuat ‘keunikan’ sampai kejahilan dan penghinaan juga mahu ditafsirkan sebagai kreativiti dan keunikan. Unik dan kreatif itu lain. B*d*h dan biadap itu juga lain. Fullstop.

Nastaghfirullah wanatubu ilaika ya Allah. Ya Rabb, lindungi kami dan zuriat kami daripada memperolokkan agama dan kalamMu. Ini saja sekecil-kecil usaha dan selemah-lemah iman kami cuba mempertahankan dan membela agamaMu.

Sumber : Sharifah Zahidah



Supply hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close