Entertainment

Mizz Nina, Noh Salleh Ambil Anak Angkat


Hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh mengumumkan mereka mengambil anak angkat.

Berkongsikan berita gembira itu di Instagram lewat malam tadi, Mizz Nina berkata bayi diberi nama Musa itu sudah tiga bulan menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

BACA: Mizz Nina Luah Rasa Syukur Rai Ulang Tahun Perkahwinan ke-10

Menurut Nina, jauh perjalanan mereka untuk sampai ke hari ini selepas bertahun menjalani rawatan IUI, IVF, akhirnya mereka dianugerahkan anak kecil itu.

“Saya boleh mengatakan bahawa dia adalah mahram saya sekarang. Perjalanan yang panjang untuk sampai ke tempat kita hari ini, melalui operasi iui, ivf, selama bertahun-tahun, Allah menganugerahkan kita bayi yang manis ini melalui cara lain, dan itu semua sudah pasti.

“Jika Allah menghendakinya untuk anda, tiada apa yang dapat menghalangnya daripada sampai kepada anda dan Hanya Dia yang mengetahui masa yang sesuai untuk segala-galanya jatuh ke tempatnya. Segala ujian dan perjuangan adalah bersebab,” tulisnya.

Kata Mizz Nina lagi, dia mengambil masa setahun untuk bersedia ke arah itu dan suaminya yang memberi idea untuk mengambil anak angkat.

“Saya masih ingat saya mengambil masa lebih setahun untuk membuka diri dan bersedia untuk usaha ini.

“Perjalanan kemanusiaan kami juga membantu saya dalam membuat keputusan ini, banyak bayi dan kanak-kanak di luar sana tanpa seorang atau kedua-dua ibu bapa, atau tempat yang boleh mereka panggil rumah dengan keluarga yang menyayangi mereka,” tulisnya.

Mizz Nina turut menyifatkan Musa adalah hadiah terindah daripada Allah. Ujarnya lagi, ianya cabaran baru bergelar ibu bapa namun mereka bahagia dan bersyukur dengan momen berkenaan.

“Semoga menjadi cahaya bagi ummat, Semoga Allah melindungi keluarga kecil kita di dunia dan akhirat serta mengizinkan kita termasuk orang-orang yang diredhai-Nya Aamiin,” tulisnya.

Perkongsian Mizz Nina itu mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis dan netizen yang turut tumpang gembira serta mengucapkan rasa syukur di atas kehadiran orang baru dalam keluarga pasangan itu.

Mizz Nina mendirikan rumah tangga dengan Noh pada 1 Julai 2011. Sehingga kini, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata lagi. Sebelum ini, Mizz Nina dilaporkan pernah menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.